SAMBUNG CERITA
Tuliskan
karangan yang berakhir dengan “… berasa amat gembira kerana mendapat banyak
hadiah.”
Aku bangun daripada tidur dan terus menatap kalendar yang
tergantung pada dinding. Tarikhnya menunjukkan 28 Februari 2021. Hari ini
merupakan sambutan ulang tahun hari lahirku. Umurku genap dua belas tahun. Aku
berasa sungguh gembira.
Ayah dan ibu telah mengadakan majlis untuk meraikan hari
lahir aku yang kedua belas. Aku telah menjemput beberapa orang rakan terdekat, jiran-jiran
dan saudara-mara untuk sama-sama meraikan hari yang penting ini.
Awal-awal pagi lagi, ibu dan kakak sudah pun sibuk
menyediakan makanan dan minuman untuk semua tetamu. Ayah dan abang pula
menghiasi ruang tamu dengan belon dan reben yang berwarna-warni. Datuk dan
nenek membelikan aku sebuah kek agar-agar berupa Minnie Mouse.
Tepat pukul 12 tengah hari, semua
tetamu telah pun tiba. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Selamat Hari
Jadi’ untuk aku. Aku meniup lilin di atas kek selepas mendoakan agar mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR pada bulan Oktober nanti. Kami
juga mengambil gambar bersama-sama sebagai kenangan.
Selepas itu, tetamu dijemput menjamu selera makanan yang
dimasak dan juga yang dibeli seperti kuih-muih, sate, mihun goreng, kari ayam
dan buah-buahan. Semua tetamu makan dengan penuh selera. Suasana majlis sungguh
meriah dengan gurau senda dan gelak ketawa kedengaran di sana sini.
Majlis kemudian bersurai pada
pukul 4 petang. Sebelum tetamu pulang, aku berjabat tangan dengan mereka sambil
mengucapkan terima kasih. Aku berasa amat gembira kerana mendapat banyak
hadiah.
*MODEL
KARANGAN juga boleh dijadikan karangan yang bertajuk “Hari yang Paling
Menggembirakan”
Anda
perlu tambah satu ayat pada penghujung karangan
… Hari inilah merupakan hari yang paling gembira dalam hidupku
buat masa ini.