KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI
Sungai merupakan sumber utama untuk
semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidup
manusia. Namun, pada zaman moden ini, sungai sudah semakin tercemar dan meninggalkan
pelbagai kesan yang membimbangkan masyarakat.
Kesan yang sering dilihat ialah rawatan pencemaran sungai telah menelan jumlah peruntukan yang tinggi dalam belanjawan negara setiap tahun. Sungai yang tercemar perlu dirawat agar tidak membawa kesan yang lebih serius kepada masyarakat. Kempen ‘Cintai Sungai Kita’ tidak patut sekadar slogan dan patut dititikberatkan agar segala peruntukan yang diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan pencemaran sungai tidak akan sia-sia bagai mencurah air ke daun keladi.
Selain itu, pencemaran sungai sememangnya
menyumbang kepada kepupusan kehidupan akuatik. Hal ini demikian kerana hidupan
marin seperti ikan, udang dan pokok bakau serta rumpai yang bergantung kepada
sumber air yang bersih itu tidak lagi selamat untuk hidup di sungai yang
tercemar. Akibatnya, rantaian makanan dan keseimbangan ekosistem turut tergugat.
Sumber protein daripada sungai semakin
berkurangan dan tidak lagi selamat untuk dimakan oleh manusia. Ekoran daripada
itu, sumber pendapatan penduduk setempat khususnya para nelayan yang bergantung
kepada penternakan hasil laut dalam sangkat turut terjejas dengan teruknya.
Pencemaran sungai ini akan
menatijahkan penyebaran bakteria, virus dan parasit melalui bahan buangan yang
dibuang ke dalam sungai dengan mudah. Akhirnya, penyebaran mikroorganisma ini
akan mengakibatkan peningkatan pelbagai penyakit bawaan air seperti
cirit-birit, sakit perut dan muntah-muntah. Oleh itu, kesihatan kita pasti akan
terjejas akibat daripada pencemaran sungai.
Di samping itu, pencemaran sungai
boleh mengakibatkan imej negara terjejas. Tidak lagi kita berasa jangkal apabila
kita dimaklumkan berlaku banjir-banjir kilat di bandar besar. Salah satu punca
berlakunya banjir kilat ialah sungai yang tersumbat dengan sampah sarap. Sikap
penduduk setempat sendiri yang tidak mementingkan kebersihan sungai dan tidak bertanggungjawab itu menjadikan sungai sebagai
tempat pembuangan sisa-sisa sampah. Senario sungai yang kotor dan dipenuhi
sampah sarap amat menjijikan mata. Bayangkan pelancong yang melihat dengan mata
sendiri kekotoran sungai kita, alangkah malunya kita sebagai rakyat yang memang
terkenal dengan nilai-nilai murni ketimuran.
Akhir sekali, ternyata sungai amat
penting bagi setiap penduduk di bumi untuk meneruskan hidup. Pencemaran sungai
di negara kita telah meninggalkan parut yang sukar untuk disembuhkan. Namun, senario
ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana akan memberi kesan negatif yang
lebih parah dalam jangka masa panjang. Oleh itu, sebagai masyarakat yang
prihatin terhadap alam sekitar, bersama-samalah kita berhempas-pulas memelihara
dan mengekalkan keindahan serta kebersihan sungai.
No comments:
Post a Comment