Thursday, October 10, 2019

Sambutan Hari Lahir – Kenangan yang Manis


Tanggal 28 Februari 2020, merupakan hari yang amat penting bagi aku. Pada hari itu, aku telah mengadakan majlis sambutan hari lahir aku yang ke-12 tahun. Aku dan ahli keluarga bangun awal untuk membuat persiapan untuk majlis itu.
Aku dan ahli keluarga bekerjasama mengemaskan rumah agar kelihatan bersih dan kemas. Ayah dan abang membantu menyusun meja dan kerusi untuk tetamu yang bakal tiba di bawah kanopi. Kakak-kakak sibuk menghiasi ruang tamu dan kanopi dengan belon dan reben berwarna-warni. Ruang tamu rumahku kelihatan begitu ceria kerana dihiasi dengan cantik sekali. Aku turut membantu ibu di dapur menyediakan air minuman asam boi limau kasturi. Makanan yang ditempah telah pun disusun dengan rapi di atas meja makan bi bawah kanopi. Antaranya, mihun goreng, ayam goreng, nuget, sosej, kuih-muih, dan buah-buahan.
Tidak lama kemudian, tetamu pun beransur datang ke rumah. Ayah telah mengundang ramai tetamu termasuklah rakan-rakan dan saudara-mara terdekat kami. Aku berpakaian baju baharu yang dibeli oleh ibu semasa menyambut kedatangan tetamu. Tetamu mengucapkan selamat hari lahir kepada aku sambil menghulurkan hadiah kepada aku. Mereka juga memuji aku kelihatan berseri-seri. Aku tersenyum sambil membalas dengan ucapan terima kasih.
Majlis pada hari itu dimulakan dengan nyanyian lagu hari lahir, diikuti dengan doaanku sebelum meniupkan lilin. Kemudian aku memotong kek dengan sebilah pisau yang dihiasi dengan reben. Selepas itu, tetamu dijemput menjamu selera di bawah kanopi.
Selepas menikmati hidangan makanan dan minuman yang enak, aku mengajak rakan-rakan untuk bermain permainan yang telah disediakan. Lebih menarik, sambutan hari lahir aku pada tahun ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran badut dan ahli silap mata. Kami semua terpesona melihat gelagat lucu badut dan persembahan ahli silap mata itu.
Pada pukul 5.00 petang, para tetamu beransur meninggalkan rumahku. Aku bersalam sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka atas kesudian meluangkan masa menghadiri majlis sambutan hari lahirku. 
Aku sangat bersyukur dan gembira kerana banyak menerima hadiah kegembiraan seperti buku cerita dan Lego. Aku mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga yang sama-sama menjayakan majlis aku. Sambutan hari lahir pada tahun ini merupakan kenangan manis yang akan dikenang sampai bila-bila. Alangkah baiknya kerana segala kenangan manis ini tercatat dalam kamera digital yang dipegang abang sepanjang majlis berlangsung.

No comments:

Post a Comment

KARANGAN - KESAN PENCEMARAN SUNGAI

  KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI Sungai merupakan sumber utama untuk semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidu...