Thursday, October 10, 2019

KENANGAN PAHIT


        Detik pahit manis merupakan lumrah hidup. Setiap insan di dunia ini pasti pernah mengalami pengalaman pahit dan manis yang tidak dapat dilupakan, tidak mengira sama ada peristiwa itu berlaku pada zaman kanak-kanak, remaja dewasa mahupun tua.
Namun, peristiwa pahit itu masih segar dalam ingatan aku seolah-olahnya berlaku semalam. Masa itu, aku baru berusia 7 tahun dan belajar di Tahun 1. Aku sedang bercuti di kampung datuk bersama sepupuku.
      Malam itu, datuk, nenek, aku dan sepupu sedang menonton rancangan televisyen. Pada masa itu, kami sedang menonton sebuah drama detektif X-Files yang begitu menarik. Jam dinding baru menunjukkan jam 9 malam. Sedang khusyuk menonton dan, tiba-tiba kami terdengar salakan anjing yang tidak berhenti-henti. Suara salakan anjing itu dating dari arah pintu utama. Dalam kenyaringan suara salakan anjing itu, kami juga terdengar bunyi desiran seakan desiran ular.
      Entah apa yang berlaku di luar sana? Tanpa melengahkan masa, datukku mengambil kayu dan membuka pintu dengan perlahan-lahan. Tiba-tiba, ular itu menggeser masuk ke dalam rumah. Ular itu sangat besar. Kami pun menjerit ketakutan. Nenek dan sepupuku lari bertempiaran ke dalam bilik meninggalkan aku dan datuk. Kakiku menjadi kaku dan tidak erti bergerak kerana terlalu takut. Tanpa disedari, air mataku jatuh berderai. Melihat keadaan yang terdesak kerana aku dalam keadaan yang bahaya, datuk memberanikan diri dan terus memukul ular itu sekuat hatinya dan akhirnya ular itu pun mati.
      Datuk kemudian dibantu sepupu membawa bangkai ular itu untuk ditanam ke kawasan lapang berdekatan dengan dusun di belakang rumah. Aku dan nenek pula membersihkan darah ular tersebut. Peristiwa inilah merupakan pengalaman yang tidak dapat aku lupakan sehingga akhir hayat. Tidak hairan juga, kadangkala aku masih bermimpi tentang peristiwa ini.  

Sambutan Hari Lahir – Kenangan yang Manis


Tanggal 28 Februari 2020, merupakan hari yang amat penting bagi aku. Pada hari itu, aku telah mengadakan majlis sambutan hari lahir aku yang ke-12 tahun. Aku dan ahli keluarga bangun awal untuk membuat persiapan untuk majlis itu.
Aku dan ahli keluarga bekerjasama mengemaskan rumah agar kelihatan bersih dan kemas. Ayah dan abang membantu menyusun meja dan kerusi untuk tetamu yang bakal tiba di bawah kanopi. Kakak-kakak sibuk menghiasi ruang tamu dan kanopi dengan belon dan reben berwarna-warni. Ruang tamu rumahku kelihatan begitu ceria kerana dihiasi dengan cantik sekali. Aku turut membantu ibu di dapur menyediakan air minuman asam boi limau kasturi. Makanan yang ditempah telah pun disusun dengan rapi di atas meja makan bi bawah kanopi. Antaranya, mihun goreng, ayam goreng, nuget, sosej, kuih-muih, dan buah-buahan.
Tidak lama kemudian, tetamu pun beransur datang ke rumah. Ayah telah mengundang ramai tetamu termasuklah rakan-rakan dan saudara-mara terdekat kami. Aku berpakaian baju baharu yang dibeli oleh ibu semasa menyambut kedatangan tetamu. Tetamu mengucapkan selamat hari lahir kepada aku sambil menghulurkan hadiah kepada aku. Mereka juga memuji aku kelihatan berseri-seri. Aku tersenyum sambil membalas dengan ucapan terima kasih.
Majlis pada hari itu dimulakan dengan nyanyian lagu hari lahir, diikuti dengan doaanku sebelum meniupkan lilin. Kemudian aku memotong kek dengan sebilah pisau yang dihiasi dengan reben. Selepas itu, tetamu dijemput menjamu selera di bawah kanopi.
Selepas menikmati hidangan makanan dan minuman yang enak, aku mengajak rakan-rakan untuk bermain permainan yang telah disediakan. Lebih menarik, sambutan hari lahir aku pada tahun ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran badut dan ahli silap mata. Kami semua terpesona melihat gelagat lucu badut dan persembahan ahli silap mata itu.
Pada pukul 5.00 petang, para tetamu beransur meninggalkan rumahku. Aku bersalam sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka atas kesudian meluangkan masa menghadiri majlis sambutan hari lahirku. 
Aku sangat bersyukur dan gembira kerana banyak menerima hadiah kegembiraan seperti buku cerita dan Lego. Aku mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga yang sama-sama menjayakan majlis aku. Sambutan hari lahir pada tahun ini merupakan kenangan manis yang akan dikenang sampai bila-bila. Alangkah baiknya kerana segala kenangan manis ini tercatat dalam kamera digital yang dipegang abang sepanjang majlis berlangsung.

KARANGAN - KESAN PENCEMARAN SUNGAI

  KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI Sungai merupakan sumber utama untuk semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidu...