Wednesday, May 8, 2019

CITA-CITA SAYA

                                    Cita-cita Saya - Arkitek
“Sayang, Ibu bukannya inginkan Sayang menjadi orang yang kaya, Ibu hanya doakan Sayang menjadi orang yang berguna. Namun, Sayang tetap perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian anda.” Kata-kata Ibu sering berkumandang dalam fikiran aku untuk mengingatkan aku agar melunaskan tanggungjawab sebagai seorang warga yang mampu berbakti kepada negara.  Aku akan mengejar impian dan cita-cita aku ialah menjadi seorang arkitek.
Minat bermain dengan permainan ‘Lego’ dan ‘Puzzle’ telah disemai sejak kecil lagi oleh Ayah. Seingat saya, Ayah sering membelikan aku permainan-permainan yang cukup mencabar dan menguji minda saya walaupun saya hanya berumur tiga tahun. Sejak itulah, saya tertarik untuk menjadi seorang arkitek kerana saya sangat berminat mencipta dan membina sesuatu. Lagipun, tugas seorang arkitek sangat mencabar dan memerlukan kesungguhan dan ketekunan.
       Saya sangat seronok bermain permainan ‘Lego’. Dengan permainan itu, saya berupaya membina apa sahaja yang saya ingin mengikut imaginasi saya. Kadang-kadang saya membina kapal terbang, bangunan, kapal laut, robot dan bermacam-macam lagi. Ketika saya berumur lapan tahun, saya telah dihadiahkan sekotak mainan ‘scale model’ untuk membina model sebuah kapal. Saya begitu tertarik dengan hadiah yang istimewa itu. Pada mulanya, saya berasa sangat susah hendak mencantumkan bahagian-bahagian kapal itu supaya menjadi model sebuah kapal. Atas berkat kesungguhan dan ketabahan, saya berjaya membina model kapal itu. Setelah berjaya, model kapal itu saya letakkan sebagai perhiasan di bilik saya.
Minat saya bertambah lagi setelah saya menemukan dua buah buku bertemakan pembinaan. Sebuah buku bertajuk Roberto, The Insect Architect yang menggambarkan Roberto, seekor anai-anai, yang sering diejek oleh koloni anai-anainya kerana dia ingin menjadi seorang arkitek manakala satu buku lagi bertajuk ‘The Story of Buildings: From the Pyramids to the Sydney Opera House and Beyond’ yang memberi gambaran cukup teliti tentang setiap bahagian bangunan terkenal di dunia. Setelah membaca kedua-dua buah buku tersebut, saya menjadi lebih yakin akan cita-cita saya untuk menjadi seorang arkitek.
     Saya tahu untuk menjadi seorang arkitek, saya perlu mempunyai kelulusan yang baik terutama dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Untuk mencapai cita-cita saya ini, saya akan belajar bersungguh-sungguh dan mendalami lebih banyak buku yang berkaitan dengan pembinaan agar saya menjadi lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran yang bakal menanti.
     Demi memakbulkan matlamat hidup saya, saya perlu cemerlang dalam semua peperiksaan dan terus belajar hingga ke universiti dalam jurusan seni bina. Setelah memperoleh kelulusan kelak, saya berharap menjadi seorang arkitek yang berjaya dan terkenal dengan adanya pencakar langit rekaan saya yang menjadi mercu tanda di dunia ini.



No comments:

Post a Comment

KARANGAN - KESAN PENCEMARAN SUNGAI

  KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI Sungai merupakan sumber utama untuk semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidu...