Monday, March 14, 2022

KARANGAN - KESAN PENCEMARAN SUNGAI

 KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI

Sungai merupakan sumber utama untuk semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidup manusia. Namun, pada zaman moden ini, sungai sudah semakin tercemar dan meninggalkan pelbagai kesan yang membimbangkan masyarakat.

Kesan yang sering dilihat ialah rawatan pencemaran sungai telah menelan jumlah peruntukan yang tinggi dalam belanjawan negara setiap tahun. Sungai yang tercemar perlu dirawat agar tidak membawa kesan yang lebih serius kepada masyarakat. Kempen ‘Cintai Sungai Kita’ tidak patut sekadar slogan dan patut dititikberatkan agar segala peruntukan yang diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan pencemaran sungai tidak akan sia-sia bagai mencurah air ke daun keladi.

Selain itu, pencemaran sungai sememangnya menyumbang kepada kepupusan kehidupan akuatik. Hal ini demikian kerana hidupan marin seperti ikan, udang dan pokok bakau serta rumpai yang bergantung kepada sumber air yang bersih itu tidak lagi selamat untuk hidup di sungai yang tercemar. Akibatnya, rantaian makanan dan keseimbangan ekosistem turut tergugat.

Sumber protein daripada sungai semakin berkurangan dan tidak lagi selamat untuk dimakan oleh manusia. Ekoran daripada itu, sumber pendapatan penduduk setempat khususnya para nelayan yang bergantung kepada penternakan hasil laut dalam sangkat turut terjejas dengan teruknya.

Pencemaran sungai ini akan menatijahkan penyebaran bakteria, virus dan parasit melalui bahan buangan yang dibuang ke dalam sungai dengan mudah. Akhirnya, penyebaran mikroorganisma ini akan mengakibatkan peningkatan pelbagai penyakit bawaan air seperti cirit-birit, sakit perut dan muntah-muntah. Oleh itu, kesihatan kita pasti akan terjejas akibat daripada pencemaran sungai.

Di samping itu, pencemaran sungai boleh mengakibatkan imej negara terjejas. Tidak lagi kita berasa jangkal apabila kita dimaklumkan berlaku banjir-banjir kilat di bandar besar. Salah satu punca berlakunya banjir kilat ialah sungai yang tersumbat dengan sampah sarap. Sikap penduduk setempat sendiri yang tidak mementingkan kebersihan sungai dan tidak  bertanggungjawab itu menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa-sisa sampah. Senario sungai yang kotor dan dipenuhi sampah sarap amat menjijikan mata. Bayangkan pelancong yang melihat dengan mata sendiri kekotoran sungai kita, alangkah malunya kita sebagai rakyat yang memang terkenal dengan nilai-nilai murni ketimuran.

Akhir sekali, ternyata sungai amat penting bagi setiap penduduk di bumi untuk meneruskan hidup. Pencemaran sungai di negara kita telah meninggalkan parut yang sukar untuk disembuhkan. Namun, senario ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana akan memberi kesan negatif yang lebih parah dalam jangka masa panjang. Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar, bersama-samalah kita berhempas-pulas memelihara dan mengekalkan keindahan serta kebersihan sungai.  

 

KARANGAN - KESAN PENCEMARAN SUNGAI

  KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI Sungai merupakan sumber utama untuk semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidu...