Saturday, January 30, 2021

HOBI SAYA, DITELAN ZAMAN?

 

Hobi merupakan aktiviti yang dilakukan pada waktu senggang. Masa lapang kita dimanfaatkan dengan hobi dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala sosial yang tidak sihat. Ramai di antara rakan sebaya saya gemar bersukan, ada pula yang lebih gemar bermain permainan komputer. Namun, saya yang agak berlainan dengan mereka. Saya meminati setem yang berwarna-warni, bahkan dalam pelbagai saiz dan bentuk. 

Hobi saya ialah mengumpul setem. Saya mula meminati setem setelah bapa saudara yang telah berhijrah ke Australia sering mengirim surat kepada nenek yang tinggal serumah dengan saya. Saya tertarik dengan gambar-gambar yang menarik pada setem. Setem-setem itu menonjulkan budaya dan peristiwa penting yang berlaku tentang sesebuah negara. Setiap kaili selepas menyiapkan kerja sekolah, saya gemar menatap setem-setem untuk menambah ilmu pengetahuan saya.

Banyak kebaikan yang saya peroleh melalui hobi saya ini. Mengumpul setem telah melatih kesabaran dan ketelitian saya. Saya perlu bersabar untuk menunggu surat yang dikirim kepada saya atau keluarga. Saya juga haruslah cermat sewaktu menanggalkan setem daripada sampul surat. Namun, setiap kali melihat koleksi setem peribadi bertambah, kepuasan yang saya peroleh memang tidak ternilai.

Untuk menambahkan koleksi saya, saya juga sering mengunjungi pejabat pos terutamanya sewaktu dimaklumkan ada keluaran khas setem sempena progam atau kempen tertentu seperti sambutan Hari Kemerdekaan, koleksi spesis flora dan fauna negara yang istimewa. Selain menimba pengetahuan baharu, saya juga menjadi lebih kreatif. Mengumpul setem kadangkala juga membazirkan duit, namun saya memperoleh banyak faedah serta keseronokan daripada hobi saya ini.

         Setakat ini, saya telah berjaya mengumpulkan melebihi 3000 setem. Setem-setem tersebut berasal dari lebih 50 buah negara di seluruh pelosok dunia. Setem-setem saya telah disimpan dengan rapi dalam album setem. Walaupun mengambil masa selama empat tahun untuk mengumpulkannya, saya tidak kisah kerana bak kata pepatah “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”.

Menulis surat dan mengirim surat sudah tidak sepopular dahulu kala. Pada hakikatnya, pertambahan koleksi saya sudah tidak secepat dahulu. Ramai orang telah beralih daripada berurusan melalui surat kepada penghantaran e-mel, namun dengan bantuan media sosial untuk menemukan golongan peminat setem dari seluruh dunia, dapatlah juga saya bertukar-tukar setem dengan peminat setem yang menghadapi situasi yang sama dengan saya. Saya amat berbangga terhadap diri saya kerana telah berjaya menempuhi cabaran-cabaran tersebut dengan baik. Sesungguhnya, hobi itu amat baik dan memberi manfaat kepada kita. Saya berharap hobi saya ini tidak ditelan zaman dengan adanya peminat seperti saya.

 

KARANGAN - KESAN PENCEMARAN SUNGAI

  KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI Sungai merupakan sumber utama untuk semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidu...