Hobi
merupakan aktiviti yang dilakukan pada waktu senggang. Masa lapang kita
dimanfaatkan dengan hobi dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala
sosial yang tidak sihat. Ramai di antara rakan sebaya saya gemar bersukan, ada
pula yang lebih gemar bermain permainan komputer. Namun, saya yang agak
berlainan dengan mereka. Saya meminati setem yang berwarna-warni, bahkan dalam
pelbagai saiz dan bentuk.
Hobi
saya ialah mengumpul setem. Saya mula meminati setem setelah bapa saudara yang telah berhijrah
ke Australia sering mengirim surat kepada nenek yang tinggal serumah dengan
saya. Saya tertarik dengan gambar-gambar yang menarik pada setem. Setem-setem
itu menonjulkan budaya dan peristiwa penting yang berlaku tentang sesebuah
negara. Setiap kaili selepas menyiapkan kerja sekolah, saya gemar menatap
setem-setem untuk menambah ilmu pengetahuan saya.
Banyak
kebaikan yang saya peroleh melalui hobi saya ini. Mengumpul setem telah melatih
kesabaran dan ketelitian saya. Saya perlu bersabar untuk menunggu surat yang
dikirim kepada saya atau keluarga. Saya juga haruslah cermat sewaktu
menanggalkan setem daripada sampul surat. Namun, setiap kali melihat koleksi
setem peribadi bertambah, kepuasan yang saya peroleh memang tidak ternilai.
Untuk
menambahkan koleksi saya, saya juga sering mengunjungi pejabat pos terutamanya
sewaktu dimaklumkan ada keluaran khas setem sempena progam atau kempen tertentu
seperti sambutan Hari Kemerdekaan, koleksi spesis flora dan fauna negara yang
istimewa. Selain menimba pengetahuan baharu, saya juga menjadi lebih kreatif.
Mengumpul setem kadangkala juga membazirkan duit, namun saya memperoleh banyak
faedah serta keseronokan daripada hobi saya ini.
Setakat ini, saya telah berjaya mengumpulkan
melebihi 3000 setem. Setem-setem tersebut berasal dari lebih 50 buah negara di
seluruh pelosok dunia. Setem-setem saya telah disimpan dengan rapi dalam album
setem. Walaupun mengambil masa selama empat tahun untuk mengumpulkannya, saya
tidak kisah kerana bak kata pepatah “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”.
Menulis surat dan mengirim surat sudah tidak sepopular dahulu kala. Pada hakikatnya, pertambahan koleksi saya sudah tidak secepat dahulu. Ramai orang telah beralih daripada berurusan melalui surat kepada penghantaran e-mel, namun dengan bantuan media sosial untuk menemukan golongan peminat setem dari seluruh dunia, dapatlah juga saya bertukar-tukar setem dengan peminat setem yang menghadapi situasi yang sama dengan saya. Saya amat berbangga terhadap diri saya kerana telah berjaya menempuhi cabaran-cabaran tersebut dengan baik. Sesungguhnya, hobi itu amat baik dan memberi manfaat kepada kita. Saya berharap hobi saya ini tidak ditelan zaman dengan adanya peminat seperti saya.
No comments:
Post a Comment