Monday, March 14, 2022

KARANGAN - KESAN PENCEMARAN SUNGAI

 KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI

Sungai merupakan sumber utama untuk semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidup manusia. Namun, pada zaman moden ini, sungai sudah semakin tercemar dan meninggalkan pelbagai kesan yang membimbangkan masyarakat.

Kesan yang sering dilihat ialah rawatan pencemaran sungai telah menelan jumlah peruntukan yang tinggi dalam belanjawan negara setiap tahun. Sungai yang tercemar perlu dirawat agar tidak membawa kesan yang lebih serius kepada masyarakat. Kempen ‘Cintai Sungai Kita’ tidak patut sekadar slogan dan patut dititikberatkan agar segala peruntukan yang diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan pencemaran sungai tidak akan sia-sia bagai mencurah air ke daun keladi.

Selain itu, pencemaran sungai sememangnya menyumbang kepada kepupusan kehidupan akuatik. Hal ini demikian kerana hidupan marin seperti ikan, udang dan pokok bakau serta rumpai yang bergantung kepada sumber air yang bersih itu tidak lagi selamat untuk hidup di sungai yang tercemar. Akibatnya, rantaian makanan dan keseimbangan ekosistem turut tergugat.

Sumber protein daripada sungai semakin berkurangan dan tidak lagi selamat untuk dimakan oleh manusia. Ekoran daripada itu, sumber pendapatan penduduk setempat khususnya para nelayan yang bergantung kepada penternakan hasil laut dalam sangkat turut terjejas dengan teruknya.

Pencemaran sungai ini akan menatijahkan penyebaran bakteria, virus dan parasit melalui bahan buangan yang dibuang ke dalam sungai dengan mudah. Akhirnya, penyebaran mikroorganisma ini akan mengakibatkan peningkatan pelbagai penyakit bawaan air seperti cirit-birit, sakit perut dan muntah-muntah. Oleh itu, kesihatan kita pasti akan terjejas akibat daripada pencemaran sungai.

Di samping itu, pencemaran sungai boleh mengakibatkan imej negara terjejas. Tidak lagi kita berasa jangkal apabila kita dimaklumkan berlaku banjir-banjir kilat di bandar besar. Salah satu punca berlakunya banjir kilat ialah sungai yang tersumbat dengan sampah sarap. Sikap penduduk setempat sendiri yang tidak mementingkan kebersihan sungai dan tidak  bertanggungjawab itu menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa-sisa sampah. Senario sungai yang kotor dan dipenuhi sampah sarap amat menjijikan mata. Bayangkan pelancong yang melihat dengan mata sendiri kekotoran sungai kita, alangkah malunya kita sebagai rakyat yang memang terkenal dengan nilai-nilai murni ketimuran.

Akhir sekali, ternyata sungai amat penting bagi setiap penduduk di bumi untuk meneruskan hidup. Pencemaran sungai di negara kita telah meninggalkan parut yang sukar untuk disembuhkan. Namun, senario ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana akan memberi kesan negatif yang lebih parah dalam jangka masa panjang. Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar, bersama-samalah kita berhempas-pulas memelihara dan mengekalkan keindahan serta kebersihan sungai.  

 

Friday, March 12, 2021

ULASAN - Memanfaatkan masa sepanjang tempoh PKP

 

Poster di bawah menunjukkan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan. Tulis ulasan tentang aktiviti-aktiviti tersebut dalam bentuk perenggan.

Sumber : https://twitter.com/kempendidikan/status/1239804332633026567


Poster tersebut menunjukkan aktiviti-aktiviti yang boleh kita lakukan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Antaranya kita boleh menonton televisyen atau bermain permainan tradisional seperti congkak dan Saidina bersama keluarga untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Selain itu, kita boleh membaca buku dan komik untuk mengurangkan stres. Seterusnya, kita juga boleh menolong ibu bapa mengemas rumah untuk meringankan beban mereka. Akhir sekali, kita boleh melakukan senaman ringan untuk menjaga kesihatan badan.

            Kesimpulannya, kita harus memanfaatkan masa agar masa tidak terbuang begitu sahaja.

ULASAN – Amalan Norma Baharu bagi Mencegah Jangkitan Wabak COVID-19

ULASAN – Amalan Norma Baharu bagi Mencegah Jangkitan Wabak COVID-19


Sumber: https://www.rtm.gov.my/index.php/terkini/pengumuman/4588-covid-19-elakkan-3s

           Rajah tersebut menunjukkan amalan normal baharu bagi mencegah jangkitan wabak COVID-19.

Antaranya ialah mengamalkan kebersihan diri yang baik seperti kerap membasuh tangan terutamanya selepas batuk atau selesema dengan menggunakan air dan sabun. Selain itu, kita perlu menjaga penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter kerana virus ini mudah tersebar dan menyerang organ pernafasan orang yang dekat. Kita juga perlu memakai penutup hidup dan mulut di tempat awam untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit.

Kesimpulannya, semua orang perlu menjalankan tanggungjawab bagi mengekang penyakit ini daripada merebak.

  

ULASAN – Langkah-langkah Pencegahan COVID-19 di Sekolah

 

ULASAN – Langkah-langkah Pencegahan COVID-19 di Sekolah


Sumber:  https://pkkbeaufort.moh.gov.my/index.php

Poster tersebut menunjukkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 di sekolah.

          Pengurusan sekolah perlu melakukan nyahkuman atau disinfeksi permukaan yang mudah dicemari kuman seperti kerusi, meja, tombol pintu dan papan kekunci komputer. Sekiranya terdapat warga sekolah yang telah disahkan positif COVID-19, sekolah tidak perlu ditutup. Namun, sekolah haruslah kerap melakukan nyahkuman. Warga sekolah mesti menjaga kebersihan diri dengan membasuh tangan dengan sabun dan air atau hand sanitizer. Warga sekolah haruslah mengamalkan penjarakan satu meter dengan orang di sekeliling terutama bagi mereka yang bergejala. Setiap murid harus memakai penutup mulut dan hidung untuk mengurangkan risiko menjangkiti COVID-19.

            Kesimpulannya, kerjasama semua rakyat amat diperlukan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 agar negara kita kembali aman dan sejahtera.

Thursday, March 11, 2021

CATATAN - Hari Persekolahan Dalam Talian sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

 

CATATAN – Hari Persekolahan Dalam Talian sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

7.00 pagi

Saya bangun awal seperti biasa. Selepas bersarapan, saya membuka komputer untuk bersedia mengikuti kelas Google Meet bersama guru di sekolah.

7.30 pagi

Waktu persekolahan bermula dengan mata pelajaran Bahasa Melayu oleh Cikgu Zaki. Cikgu Zaki mengajar beberapa peribahasa yang penting dan kerap digunakan dalam penulisan karangan.

9:00 pagi

Saya memulakan kelas luar talian dan mengakses latihan yang telah dipaparkan di dalam Google Classroom. Saya menjawab soalan dengan teliti dan merujuk kepada kamus jika terdapat perkataan yang saya tidak faham. 

10.00 pagi

Waktu rehat selama 20 minit seperti dahulu. Saya makan sandwich yang disediakan oleh ibu yang kini “Work from Home”. Kami makan bersama-sama sambil berbual-bual.

10:20 pagi

Alangkah nasib baik hari ini kerana kelas-kelas seterusnya dapat berlangsung dengan lancar tanpa sebarang gangguan Internet. Saya menumpukan sepenuh perhatian dalam setiap kelas.

12:50 tengah hari

Sesi persekolahan hari ini telah tamat dan saya pun makan tengah hari bersama ibu dan ayah. Ayah telah pulang ke rumah selepas menghadiri perjumpaan khas bersama pegawai yang penting.

2:30 petang

Selepas berehat seketika, saya meneruskan pembelajaran saya bersama Cikgu Hoh untuk menambahbaik Bahasa Melayu saya. Saya ingin mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Saya perlu terus berusaha agar dapat mencapai matlamat saya ini. Sesi ini, Cikgu Hoh mengajarkan saya teknik menjawab soalan-soalan Bahagian B.

6:00 petang.

Selepas mandi dan makan malam, kami sekeluarga menonton drama kegemaran di ruang tamu untuk berhibur.

8.00 malam

Kami menonton berita terkini untuk mengetahui maklumat terkini tentang COVID-19. Ayah berpesan kepada saya dan adik agar mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) sewaktu kami dibenarkan pulang ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran.

9.30 malam

Seperti biasa, selepas membersihkan diri, saya dan adik membaca buku cerita kegemaran sebelum masuk tidur.

 

KOSA KATA HARI INI - BAKAT