Showing posts with label Hari Lahir. Show all posts
Showing posts with label Hari Lahir. Show all posts

Saturday, December 12, 2020

HARI YANG PALING MENGGEMBIRAKAN - SAMBUNG CERITA (Sambutan Hari Lahir)

SAMBUNG CERITA

Tuliskan karangan yang berakhir dengan “… berasa amat gembira kerana mendapat banyak hadiah.”

Aku bangun daripada tidur dan terus menatap kalendar yang tergantung pada dinding. Tarikhnya menunjukkan 28 Februari 2021. Hari ini merupakan sambutan ulang tahun hari lahirku. Umurku genap dua belas tahun. Aku berasa sungguh gembira.

Ayah dan ibu telah mengadakan majlis untuk meraikan hari lahir aku yang kedua belas. Aku telah menjemput beberapa orang rakan terdekat, jiran-jiran dan saudara-mara untuk sama-sama meraikan hari yang penting ini.

Awal-awal pagi lagi, ibu dan kakak sudah pun sibuk menyediakan makanan dan minuman untuk semua tetamu. Ayah dan abang pula menghiasi ruang tamu dengan belon dan reben yang berwarna-warni. Datuk dan nenek membelikan aku sebuah kek agar-agar berupa Minnie Mouse.

                Tepat pukul 12 tengah hari, semua tetamu telah pun tiba. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Selamat Hari Jadi’ untuk aku. Aku meniup lilin di atas kek selepas mendoakan agar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR pada bulan Oktober nanti. Kami juga mengambil gambar bersama-sama sebagai kenangan.

Selepas itu, tetamu dijemput menjamu selera makanan yang dimasak dan juga yang dibeli seperti kuih-muih, sate, mihun goreng, kari ayam dan buah-buahan. Semua tetamu makan dengan penuh selera. Suasana majlis sungguh meriah dengan gurau senda dan gelak ketawa kedengaran di sana sini.

        Majlis kemudian bersurai pada pukul 4 petang. Sebelum tetamu pulang, aku berjabat tangan dengan mereka sambil mengucapkan terima kasih. Aku berasa amat gembira kerana mendapat banyak hadiah.

 

*MODEL KARANGAN juga boleh dijadikan karangan yang bertajuk “Hari yang Paling Menggembirakan”

Anda perlu tambah satu ayat pada penghujung karangan

… Hari inilah merupakan hari yang paling gembira dalam hidupku buat masa ini.

               

 


Thursday, October 10, 2019

Sambutan Hari Lahir – Kenangan yang Manis


Tanggal 28 Februari 2020, merupakan hari yang amat penting bagi aku. Pada hari itu, aku telah mengadakan majlis sambutan hari lahir aku yang ke-12 tahun. Aku dan ahli keluarga bangun awal untuk membuat persiapan untuk majlis itu.
Aku dan ahli keluarga bekerjasama mengemaskan rumah agar kelihatan bersih dan kemas. Ayah dan abang membantu menyusun meja dan kerusi untuk tetamu yang bakal tiba di bawah kanopi. Kakak-kakak sibuk menghiasi ruang tamu dan kanopi dengan belon dan reben berwarna-warni. Ruang tamu rumahku kelihatan begitu ceria kerana dihiasi dengan cantik sekali. Aku turut membantu ibu di dapur menyediakan air minuman asam boi limau kasturi. Makanan yang ditempah telah pun disusun dengan rapi di atas meja makan bi bawah kanopi. Antaranya, mihun goreng, ayam goreng, nuget, sosej, kuih-muih, dan buah-buahan.
Tidak lama kemudian, tetamu pun beransur datang ke rumah. Ayah telah mengundang ramai tetamu termasuklah rakan-rakan dan saudara-mara terdekat kami. Aku berpakaian baju baharu yang dibeli oleh ibu semasa menyambut kedatangan tetamu. Tetamu mengucapkan selamat hari lahir kepada aku sambil menghulurkan hadiah kepada aku. Mereka juga memuji aku kelihatan berseri-seri. Aku tersenyum sambil membalas dengan ucapan terima kasih.
Majlis pada hari itu dimulakan dengan nyanyian lagu hari lahir, diikuti dengan doaanku sebelum meniupkan lilin. Kemudian aku memotong kek dengan sebilah pisau yang dihiasi dengan reben. Selepas itu, tetamu dijemput menjamu selera di bawah kanopi.
Selepas menikmati hidangan makanan dan minuman yang enak, aku mengajak rakan-rakan untuk bermain permainan yang telah disediakan. Lebih menarik, sambutan hari lahir aku pada tahun ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran badut dan ahli silap mata. Kami semua terpesona melihat gelagat lucu badut dan persembahan ahli silap mata itu.
Pada pukul 5.00 petang, para tetamu beransur meninggalkan rumahku. Aku bersalam sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka atas kesudian meluangkan masa menghadiri majlis sambutan hari lahirku. 
Aku sangat bersyukur dan gembira kerana banyak menerima hadiah kegembiraan seperti buku cerita dan Lego. Aku mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga yang sama-sama menjayakan majlis aku. Sambutan hari lahir pada tahun ini merupakan kenangan manis yang akan dikenang sampai bila-bila. Alangkah baiknya kerana segala kenangan manis ini tercatat dalam kamera digital yang dipegang abang sepanjang majlis berlangsung.

KARANGAN - KESAN PENCEMARAN SUNGAI

  KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI Sungai merupakan sumber utama untuk semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidu...