Hobi ialah sesuatu yang gemar dilakukan pada masa lapang.
Kita sering dipesan harus memanfaatkan masa lapang. Hobi saya ialah berenang
dan membaca buku.
Saya mula belajar berenang sejak berumur lima tahun. Saya
diajar berenang oleh bapa saya yang merupakan seorang jurulatih renang. Saya
telah mahir berenang semua gaya, iaitu gaya kuak kupu-kupu, gaya kuak lentang,
gaya kuak dada, dan gaya bebas pada usia 10 tahun.
Tahun ini saya telah mewakili sekolah dalam Kejohanan
Akuatik MSSM bagi acara renang 800 meter gaya bebas perempuan terbuka. Walaupun
saya gagal merangkul sebarang pingat, saya tetap berbangga dengan diri kerana
penyertaan kali ini telah membuka mata saya tentang arena sukan renang. Saya juga
amat gembira kerana telah dapat berkenalan beberapa orang rakan yang seminat
dengan saya. Saya pula mula meminati
terjun air dan renang artistik.
Saya gemar berenang kerana aktiviti ini sangat baik untuk
kita. Kelebihan berenang bukan sahaja untuk menjaga kesihatan, malah juga
membentuk tubuh yang lebih sempurna. Saya juga bercita-cita menjadi wakil
negara di acara sukan renang bertaraf dunia kelak.
Selain berenang, saya juga gemar membaca. Tabiat membaca
dipupuk sejak kecil lagi kerana ibu saya sering membacakan buku cerita Aesop’s
Fable sebelum saya masuk tidur. Sewaktu saya belajar Tahun Tiga, saya pula
tertarik dengan hasil karya Enid Blyton yang cerita-cerita pengembaraan yang menarik.
Sehinggakan pada usia 11 tahun, saya pernah terfikir untuk menjadi seorang
penulis sepopular Enid Blyton.
Kini, minat saya bertambah apabila saya berkenalan dengan
rakan sekelas saya, Deirdre Gan, yang turut berkongsi minat membaca. Kami
sering berkongsi buku cerita untuk menjimatkan perbelanjaan. Antara siri bacaan
kegemaran kami ialah Geronimo Stilton and Diary of a Wimpy Kid.
Mengamalkan hobi berenang dan membaca dalam hidup seharian
telah menjadikan hidup saya sihat dan ceria. Saya bersyukur kerana masa
lapang saya digunakan dengan baik.
No comments:
Post a Comment