Friday, May 24, 2019

KARANGAN - Langkah-langkah untuk Meningkatan Semangat Kejiranan


Semangat kejiranan sudah semakin luntur dalam masyarakat sejak akhi-akhir ini. Pada pendapat anda, /Apakah langkah-langkah untuk meningkatkan semangat ini.


Semangat kejiranan merujuk semangat masyarakat setempat saling membantu terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian kita. Semangat ini merupakan sebahagian daripada amalan dan budaya yang merupakan kebanggaan rakyat Malaysia. Namun, belakangan ini, semangat kejiranan semakin luntur dalam masyarakat kita. Oleh itu, langkah-langkah yang proaktif dan wajar harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.
Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan masing-masing. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada waktu malam. Penglibatan semua pihak tanpa mengira kaum mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat akan terjalin melalui aktiviti-aktiviti rukun tetangga.
Selain itu, pelbagai majlis yang bercorak setempat harus diadakan dengan bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu memperkukuh semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Tegasnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur melalui majlis sebegini.
Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat yang sedar akan kepentingan memupuk semangat kejiranan pasti akan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Oleh itu, kerajaan sememangnya berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.
Pada masa yang sama, sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat agar tidak menggugat keharmonian hidup masyarakat. Jelaslah, sikap seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ harus dipraktikkan bagi memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.
Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa pendekatan yang dijelaskan tadi. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Jiran sepakat, membawa berkat.


No comments:

Post a Comment

KARANGAN - KESAN PENCEMARAN SUNGAI

  KESAN-KESAN PENCEMARAN SUNGAI Sungai merupakan sumber utama untuk semua kehidupan di dunia ini. Sungai turut diibaratkan sebagai nadi hidu...